Laman AIDC Berpindah

Posted on Updated on

Banner-AIDC-2Assalamualaikum wbt.

Dimaklumkan mulai hari ini, 31 Mei, laman AIDC berpindah ke tapak baharu di aidcnews.wordpress.com/

Terima kasih dia atas segala sokongan dan mohon maaf dengan segala kesulitan.

AIDC

Pilih Yang DAP Mahu Atau Yang DAP Tak Mahu – Hadi

Posted on Updated on

AIDCNews – 30 /5/15 – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi peluang kepada ahli-ahli untuk untuk membuat pilihan sama ada memilih pemimpin parti yang disukai DAP atau sebaliknya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor nanti.

Beliau berkata terpulang kepada ahli-ahli PAS sama ada hendak memilih pemimpin sendiri atau mengikut telunjuk DAP.

Kata beliau, jika ada mana-mana parti lain yang ada pandangan tentang PAS termasuk DAP serta mahu mengikut kehendaknya, itu terpulang kepada ahli-ahli PAS sendiri. Read the rest of this entry »

Kronologi Serangan DAP Terhadap Presiden PAS

Posted on

Izwan Abdul Halim – Mutakhir ini DAP dilihat begitu galak menyerang dan memperlekehkan PAS khususnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kronologi ringkas ini bertujuan untuk diperlihatkan semula sebagai imbasan, agar jangkaan yang bebas dan adil dapat dibuat terhadap masa depan politik Pakatan Rakyat, selain menghentikan budaya fitnah dan adu domba

26 MEI 2015: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tawar hati untuk bersama Pakatan Rakyat (PR). Abdul Hadi berkecenderungan terhadap Umno berbanding memberikan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini.

“Beliau bukan saja tidak hadir ke PRK Permatang Pauh lalu, malah turut tidak menyatakan sokongan terbuka kepada Wan Azizah. Hadi membuktikan walaupun tubuh badannya masih bersama PR, hatinya sudah bersama Umno.”

24 MEI 2015: Lim Kit Siang berkata, “Kalau bekas Mursyidul Am PAS (Nik Abdul Aziz) masih hidup, pasti beliau tidak akan membenarkan Pakatan Rakyat berhadapan krisis seteruk ini dan menentang rancangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh pimpinan PAS sedia ada. Bekas pemimpin PAS pernah mendakwa idea pembentukan kerajaan perpaduan telah mendapat restu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi ia dihalang sendiri Nik Abdul Aziz. Bagaimanapun promoter konsep kerajaan perpaduan telah mengambil kesempatan daripada kematian Nik Abdul Aziz untuk meneruskan konspirasi politik itu.”

23 MEI 2015: Lim Guan Eng berkata, Abdul Hadi semakin berkelakuan seperti ‘pemimpin Umno’ dengan memainkan sentimen perkauman dan menyerang DAP. Abdul Hadi semakin lama lebih dilihat sebagai pemimpin Umno, bukan pemimpin PAS.

“Adakah ini kerana beliau nak kerajaan perpaduan? Beliau tetap sokong perdana menteri walaupun Lembaga Tabung Haji ada masalah? Kalau nak gabung, pergilah. Jangan cari alasan macam ni. Jangan hilang akal macam ni. Sekarang dia (Abdul Hadi) main sentimen perkauman untuk serang DAP. DAP tak pernah cakap nak memerintah negara secara sendirian. Jelas hati dia (Abdul Hadi) tak ada bersama Pakatan Rakyat lagi.”

24 MAC 2015: Lim Guan Eng berkata, “Jika Hadi terus nak bentangkan usul tersebut (hudud), lebih baik beliau tinggalkan Pakatan Rakyat, beliau tentu berhak sebagai seorang Ahli Parlimen untuk berbuat demikian. Kita tak persoalkan hak demokrasi Hadi untuk bentang apa-apa usul, beliau memang ada hak sebagai Ahli Parlimen… tapi kalau nak buat usul sedemikian, jangan laksana sebagai ahli Pakatan Rakyat kerana kalau dia buat sedemikian, lebih baik beliau tinggalkan pakatan.”

24 MAC 2015: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, “DAP kesal dengan pengkhianatan Abdul Hadi. Kami telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan beliau dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan sebarang kerjasama dengannya. Ini bukan kali pertama tetapi kali ketiga perkara membelakangkan dasar persefahaman berlaku. Beliau tidak jujur dan bermaruah. Pengundi yang menyokong PAS dalam pilihan raya umum lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama yang dibawa oleh pakatan pembangkang. Yang melanggar dasar ini adalah PAS.”

22 MAC 2015: Lim Kit Siang berkata, Abdul Hadi bertindak dengan cara tidak jujur dan tidak bermaruah apabila membuat keputusan sendiri membelakangkan Pakatan Rakyat memohon kebenaran Parlimen membentang rang undang-undang persendirian hudud pada sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung. Tindakan Abdul Hadi itu mencabuli keputusan Majlis Tertinggi PR kerana sebarang usul persendirian mesti terlebih dahulu dikemukakan kepada mereka sebelum dihantar ke Parlimen.

“Ini mencabuli keputusan Majlis Tertinggi sendiri. ‘Hot honest and not honourable’. Sebab itu kita tidak boleh mempersetujuinya. PKR mengumumkan tidak bersetuju dan DAP pun tidak boleh bersetuju. Tapi PAS melanggarnya. Itulah masalahnya.”

21 MAC 2015: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang terus mengkhianati dan menghina Pakatan Rakyat dengan memungkiri janji yang dinyatakannya sendiri kepada Pakatan Rakyat berhubung isu hudud sebelum ini.

Pengkhianatan bersiri oleh kepimpinan utama PAS ini adalah satu tindakan provokasi yang dilakukan secara sengaja untuk memecahkan Pakatan Rakyat atau demi mengugut DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerah kepada PAS atau melihat Pakatan Rakyat berpecah. Pendekatan sedemikian oleh Abdul Hadi tidak boleh menjadi sebahagian daripada pendekatan konsensus yang digunakan Pakatan Rakyat demi demokrasi yang sihat dan koalisi yang berfungsi dengan baik. Pimpinan DAP dikhianati oleh PAS Kelantan dan beberapa pimpinannya atas sikap tidak jujur, licik dan khianat mereka membelakangi Pakatan Rakyat.

Presiden PAS berkhayal jika menyangkakan bahawa sokongan kalangan bukan Islam terhadap PAS masih belum hilang selepas mereka dikhianati oleh parti itu. PAS bukan sahaja telah menamatkan Pakatan Rakyat malah prospek parti itu dalam pilihan raya akan datang.

28 JANUARI 2015: Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, Abdul Hadi mempunyai hasrat untuk memecah-belah Pakatan Rakyat. Pelbagai isyarat yang diberikan Abdul Hadi termasuk keengganan menghadiri mesyuarat tertinggi pakatan, menolak resolusi yang dipersetujui bersama hinggalah membangkit isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Abdul Hadi semakin konservatif telah membelakangkan nilai ‘parti untuk semua rakyat’ yang dipegang oleh PR.

“Keadaan ini menyedihkan pengundi bukan Islam khususnya pengundi Cina yang memberi sokongan kepada PAS pada Pilihan Raya 2008 dan 2013. Jangan lupa bahawa tanpa sokongan pengundi bukan Islam khususnya pengundi Cina, PAS akan menerima kekalahan di banyak kawasan.”

27 JANUARI 2015: Lim Kit Siang berkata, “Serangan Umno ialah apabila pemimpinnya turut melompat menyokong Hadi bagi kenyataan ‘13 Mei jika kembalikan undi ketiga’, dan dalam masa beberapa hari ini, kenyataan Hadi diberikan keutamaan berbanding Presiden Umno dan Timbalan Presidennya di dalam Utusan Malaysia – pertama kali dalam sejarah lidah rasmi Umno itu!”

6 FEBRUARI 2015: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR Ahad ini bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

Pihaknya sedia berbincang perkara-perkara bernas yang melibatkan kepentingan rakyat berdasarkan fakta.

“Di sini saya rasa pendirian DAP amat jelas dan yang paling penting adalah menyelesaikan perkara berbangkit berdasarkan fakta dan bukan fitnah. tanpa kehadiran Presiden Pas, mesyuarat itu tidak dapat diteruskan kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah menetapkan bahawa semua keputusan harus dibuat secara kolektif dengan kehadiran semua pemimpin PR. Kami mendapat jaminan Hadi akan datang, jika tidak mesyuarat tidak diteruskan.”

7 SEPTEMBER 2014: Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menemplak Abdul Hadi kerana menyebabkan kehilangan dua negeri kepada Barisan Nasional dan kini mempersoalkan pula keupayaan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Naibnya, Teng Chang Kim pula berkata, fakta rekod kerja Hadi menceritakan keupayaan pentadbiran beliau untuk dinilai orang ramai kerana hilang Terengganu sewaktu menjadi Menteri Besar dan hilang Kedah sewaktu menjadi Presiden PAS.

IKRAM Tonjol Tiga Anak Pimpinan PAS Untuk Lawan Hadi

Posted on

AIDCNews -30/5/15 – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menonjolkan tiga anak pimpinan PAS untuk melawan pengaruh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketiga anak pimpinan PAS itu ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (anak Allahyarham Yusof Rawa, Presiden PAS kelima), Muhamad Faiz Fadzil (anak Allahyarham Datuk Fadzir Noor, Presiden PAS keenam) dan Nik Omar Nik Abdul Aziz (anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS).

“Program yang sangat kelakar. Jemput orang ‘luar’ untuk bincang masa depan PAS.

“Mujahid masa di Mesir dulu adalah IRC cawangan Mesir; Faiz Fadhil, IKRAM dan tak pernah menerima tarbiyah PAS masa di kampus dan Nik Omar, IKRAM,” dedah laman pro ulama, El Haraki.

Ia merujuk kepada satu program bertajuk “Politik Islam di Malaysia. Agenda Politik Baru” di Carlton Holiday Hotel, Shah Alam, pada 29 Mei.

Program anjuran Lajnah Penerangan Shah Alam dan Pemuda PAS 18 B itu dipengerusikan oleh Dr Hamzah Jaafar.



Dr Hamzah yang juga bekas Yang Dipertua PAS Jerantut didedahkan oleh ‘Kulaan Harat’ sebagai seorang aktivis IKRAM.

“Pak Abu atau abu ‘urwah atau Saari Sungib juga berperanan untuk menyusun konspirasi parasit dalam PAS Pahang..antara agent parasit Saari Sungib di Pahang ialah ustaz Yusuf Embong..bersama mereka juga adalah Dr (dr homopati) Hamzah Jaafar..( Hamzah Jaafar masa di Mesir ada group sendiri yang dinamakan ‘Nusantara’)..parasit menguasai sebahagian besar Jawatankuasa harian PAS Pahang..

“Dan sudah tidak menjadi rahsia di Pahang, Saari Sungib memimpin usrah (atau pertemuan sulit) pimpinan PAS dari kalangan parasit untuk terus memaksimumkan penguasaan golongan parasit di Pahang,”dedahnya dalam artikel bertajuk “Dokumen Penuh Parasit Menguasai UMNO : Baca dan fahamilah Grand Design Parasit bukan sahaja dalam PAS

Dua ADUN PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) tanda tangan pengakuan berkanun sokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor

Penglibatan IKRAM mahu menentukan hala tuju PAS terbongkar pada September 2014 apabila dua ADUN PAS Selangor, YB Saari Sungib (Hulu Kelang) dan YB Hasnul Baharuddin (Morib) membelakangkan pimpinan PAS apabila menandatangani pengakuan berkanun menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu Selangor.

Saari dan Hasnul adalah bekas aktivis JIM (Jemaah Islam Malaysia).

Menurut blog jalan-yang-satu, JIM adalah nama rasmi kepada sebuah pertubuhan underground – IRC (Islamic Representative Council) yang ditubuhkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom pada awal tahun 1970-an.

Sekembalinya pelajar-pelajar itu ke Malaysia, mereka mentranformasi IRC kepada pertubuhan rasmi secara berdaftar yang dinamakan JIM pada 1991.

“Presiden JIM pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip) sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil tempat sebagai Presiden.

“Pada tahun 1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai KeAdilan, di antaranya ialah Sahari Bahari (bekas Naib Presiden JIM) yang menjadi EXCO Pemuda KeAdilan. Hj. Saari Sungip menjadi calon KeAdilan dalam Pilihanraya 29 November 1999 tetapi tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tetapi kini menjadi ADUN PAS Hulu Kelang,”dedahnya.

Menurut Harakahdaily JIM telah dibubar pada 2013 dalam satu Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) Khas NGO di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur.

“Kami memutuskan untuk membubarkan JIM bagi menyepadukan sumber-sumber organisasi bagi membolehkan kami melaksanakan tugas yang lebih besar dalam masyarakat demi melonjakkan lagi dakwah,” kata Zaid Kamaruddin, Presiden JIM.

Perhimpunan khas tersebut juga telah meluluskan usul untuk memindahkan semua harta dan aset JIM kepada IKRAM sebuah NGO yang diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 22 Oktober 2009.

“Kekuatan yang ada pada JIM termasuk harta, aset maknawi serta institusi-institusi seperti sekolah, Hidayah Centre dan Raudhatus Sakinah akan diserahkan kepada IKRAM

“Pengalaman yang kita peroleh semasa bergerak di bawah JIM akan dimanfaatkan dalam membina tapak yang kukuh bagi penglibatan IKRAM dalam masyarakat,” kata Zaid.


Mesej Tersembunyi Pembelotan 2 ADUN PAS

El Haraki : Saari Sungip Mula Tunjuk Wajah Sebenar

IKRAM Mahu Kuasai PAS Melalui PASMA ?

Albangi Selangor Dedah Dokumen Perancangan Anwarinas Kuasai PAS

Penyokong Husam Gesa Keluar PAS Tubuh Parti Baharu

Mahkamah Arah Presiden ANAK Bayar RM350,000 Fitnah FELDA

Posted on

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan sebuah syarikat membayar ganti rugi RM350,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana memfitnah lembaga itu dalam sebuah buku.

Hakim Datuk Su Geok Yiam turut memerintahkan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd yang menerbitkan buku “FELDA… Dulu tolong Sekarang Ah Long” membayar kos guaman sebanyak RM150,000 kepada Felda.

Sementara jumlah RM350,000 adalah bagi ganti rugi am dan teruk.

Pada 20 Julai 2009, Felda memfailkan saman terhadap Mazlan dan penerbit buku itu dan mendakwa tajuk buku tersebut membawa maksud Felda adalah Ah Long atau pemberi pinjaman wang haram dengan kadar faedah yang terlampau tinggi.

Felda dalam pernyataan tuntutannya mendakwa buku itu menggambarkan Felda bakal mengaut keuntungan yang banyak daripada pelbagai rancangan kemajuan sehingga memudaratkan peneroka yang kononnya hidup miskin akibat salah laku plaintif, dan mereka tidak ubah seperti hamba abdi ekoran dasar yang didakwa menindas.

Felda berkata kandungan buku itu juga berniat jahat dan dibuat untuk merosakkan reputasi Felda bagi merendah-rendahkan imejnya di mata masyarakat.

Felda diwakili oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Nor Emelia Iszeham, manakala peguam mewakili Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd tidak hadir – BERNAMA

Kumpulan Suhaizan Dedah Pemuda PAS Berpecah Dua Aliran

Posted on

AIDCNews – 29/5/15 – Terdapat dua kem yang bertanding dalam Dewan Pemuda PAS Pusat untuk sesi 2015/2017 dedah kumpulan Suhaizan Kayat.

Perkara itu didedahkan oleh calon Exco Pemuda PAS Pusat, Mohammad Faiz Fadzil yang berkata dua kem itu membawa dua aliran berbeza.

Faiz yang juga anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor berkata, dua aliran itu adalah pertama, aliran yang mahu meneruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) dan kedua, aliran yang mahu memutuskan hubungan dengan PR.

“Pilih pemimpin yang mempunyai visi untuk meneruskan kerjasama dengan PR atau pemimpin yang mahu meninggalkan PR. Itu realiti dan tak dapat kita nak elak atau sembunyi lagi.

“(Apa yang berlaku) ini bukan dibuat-buat tetapi ia berdasarkan (beberapa siri) kenyataan yang diberikan oleh pemimpin kita.

“Ada kenyataan yang pertahan PR dan ada kenyataan yang beri gambaran jelas bahawa PAS akan meninggalkan PR. Ini kenyataan yang dikeluarkan oleh dua aliran pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bicara ilmiah bertajuk ‘Wacana Hala Tuju Pemuda Pas Malaysia’ anjuran Pemuda Pas Ipoh Timur, kelmarin, lapor Sinar Harian.

Selain Faiz, program itu menampilkan Suhaizan Kaiat, penyandang Ketua Pemuda; Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, calon Timbalan Ketua Pemuda dan Nor Azman Mohamad, calon Naib Ketua Pemuda.

Mengulas lanjut, Faiz menegaskan, kewujudan dua aliran itu bukan pendedahan yang sengaja dibuat-buat, namun ia berdasarkan maklumat dan kenyataan-kenyataan (pemimpin PAS) di dalam media arus perdana serta media-media sosial.

“Ia bukan tuduhan melulu atau liar dan kita tak sebut nama mana-mana pemimpin tetapi rakyat sekarang dapat maklumat secara cepat melalui media sosial,” katanya.


Menurutnya, secara dasar kerjasama dengan PR harus dikekalkan kerana usaha menegakkan daulah Islamiah harus mempunyai kerajaan.

Beliau berkata, dalam membentuk kerajaan, PAS perlu mempunyai rakan sekutu yang kuat.

“Mengambil contoh di Kelantan, bagaimana peraturan atau undang-undang boleh dilaksanakan dan diterima apabila adanya kerajaan. Sekali gus syiar Islam dapat ditegakkan.

“Begitulah juga di peringkat pusat, PAS perlu membentuk gabungan yang kuat bersama DAP dan PKR untuk menentang BN bagi membentuk kerajaan di bawah PR,” katanya.

Ketua Pemuda

1. Suhaizan Kaiat (penyandang)

2. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (pro ulama)

Timbalan Ketua Pemuda

1. Muhammad Khalil Abdul Hadi (penyandang/pro ulama)

2. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob (kem Suhaizan)

Timbalan Ketua Pemuda

1. Muhammad Khalil Abdul Hadi (penyandang/pro ulama)

2. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob (kem Suhaizan)

Ahli Jawatankuasa Kerja

*12 Ahli Jawatankuasa yang perlu dipilih

Team Suhaizan

1. Abang Ahmad Kerdee
2. Lahirul Latigu
3. Mohamad Arifiriazul Paijo
4. Mohd Fakhrurazi Mohd Mokhtar
5. Mohd Hakim Mohd Nor
6. Mohd Hasbie Muda
7. Mohd Nasaie Ismail
8. Mohd Nasir Zakaria
9. Mohd Sany Hamzan
10. Muhammad Faiz Fadzil
11. Muhammad Hafiz Musa
12. Muhd Ramadhan Fitri Elias

Team Nik Abduh

1. Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden
2. Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
3. YB Hishamudin Abdul Karim
4. Izwan Abdul Halim
5. YB Mohd Azam Abd Samat
6. Ustaz Mohd Hafez Sabri
7. YB Mohd Zawawi Abu Hassan
8. Ir Haji Muhtar Suhaili
9. Nurul Islam Mohamed Yusoff
10. Syahir Che Sulaiman
11. Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim
12. Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofree

Pengerusi & Timbalan Pengerusi Tetap

Pengerusi Tetap

YB Abdul Latiff Abdul Rahman (team Suhaizan)
Ustaz Kamal Ashaari (team Nik Abduh)

Timbalan Pengerusi Tetap

Ahmad Sabky Yusof (team Suhaizan)
Dr Riduan Mohd Noor (team Nik Abduh)

Muktamar PAS Kemuncak Grand Design PASMA – Dr Zuhdi

Posted on

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) diyakini telah dan sedang merancang melakukan Grand Design untuk memastikan kumpulan mereka memenangi jawatan-jawatan yang dipertandingkan dalam Muktamar PAS kali ini.

Perancangan yang dilakukan oleh PasMa kali ini begitu terdesak sehingga melibatkan adanya pencabar bagi jawatan Presiden, menyebabkan pertandingan pada kali ini adalah antara blok atau kumpulan. Ketara sekali, wujud blok atau kumpulan yang mendukung Presiden PAS sekarang serta Kepimpinan Ulama, dan satu lagi blok atau kumpulan yang lunak dengan DAP yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Awang.

PasMa yang dilancarkan penubuhan pada tahun lepas adalah jenama baru kepada kumpulan yang mahu membawa wajah baru dan progresif dalam PAS, yang telah wujud sejak tahun 1998 lagi. Kemunculan PasMa semasa pelancarannya di Pustaka Zahra, Kota Bharu, tahun lalu hanyalah kemunculan satu pertiga daripada kumpulan ini, manakala dua pertiga lagi masih tersembunyi. Dengan erti kata lain, PasMa ini seumpama bongkah ais, yang muncul di permukaan air hanyalah satu pertiga, sedangkan dua pertiga lagi tenggelam di bawah air. Bagaimanapun, menjelang Muktamar PAS yang bermula minggu hadapan, dua pertiga yang tenggelam itu mulai muncul.

Dalam muktamar pada kali ini, jelas sekali PasMa berperanan di belakang calon jawatan Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, apabila terdapat figure PasMa mengiringi beliau sewaktu menyerahkan jawapan kesediaannya bertanding jawatan Presiden PAS baru-baru ini. Pada ketika yang sama, program-program yang melibatkan Ustaz Ahmad Awang juga banyak dianjurkan oleh mereka yang sama ada ahli PasMa ataupun yang sebelum ini mesra PasMa. Demikian juga terdapat calon-calon mereka yang bertanding, sering terlibat dengan program-program snjuran PasMa sebelum ini.

PasMa dalam muktamar kali ini, dilihat melakukan cubaan nekad untuk mencorakkan siapakah pimpinan PAS yang perlu dinaikkan dan siapa pula yang perlu diturunkan. Sekiranya cubaan mereka menyingkirkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan kumpulan yang mendukung Kepimpinan Ulama berjaya, PAS selepas ini akan menjadi ‘budak suruhan DAP’ dalam PR. Sekiranya cubaan mereka gagal, PasMa berkemungkinan akan menubuhkan parti baru sebagaimana yang diwarwarkan oleh mereka baru-baru ini.

Secara langsung, kumpulan PasMa dan mereka yang menyembunyikan identiti PasMa mereka tidak menginginkan PAS kuat dalam PR dan terus tegas mempertahankan dasar serta tema perjuangan. Mereka lebih rela PAS menjadi lunak dalam PR khusus terhadap DAP, dengan mengambil sikap menyembunyikan dasar dan tema perjuangan Islam demi meraikan desakan DAP. Dipercayai para perwakilan Muktamar PAS yang telah bergelumang berpuluh tahun dengan dasar dan tema perjuangan PAS akan terus mempertahankan Presiden sekarang dan Kepimpinan Ulama.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS
29 Mei 2015
10 Shaaban 1436