Husam Jalani Rawatan Penyakit Bell’s Palsy

Posted on

PETALING JAYA: Pemimpin politik PAS, Datuk Husam Musa yang bertanding untuk jawatan naib presiden menjalani rawatan Bell’s palsy pada bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Kelantan itu memilih rawatan tradisional akupunktur dan kini sedang dirawat di sebuah klinik swasta di Puchong yang terkenal dengan rawatan perubatan tradisional Cina.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Baru, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah yang melawat Husam beberapa minggu lalu memberitahu bahawa beliau kini dalam proses pemulihan serta boleh berjalan dan bercakap.

“Doktor menegaskan dia perlu berehat dan tidur sebanyak yang mungkin,” kata Wan Rahim.

Husam tidak dapat bergerak sejak kempen pemilihan PAS bermula tetapi Wan Rahim berkata Husam harus segera baik untuk menghadiri muktamar PAS di Kuala Selangor dari 4 hingga 6 Jun ini.

Bell’’s palsy adalah satu penyakit kelumpuhan muka idiopatik (tidak diketahui punca) akibat disfungsi saraf tengkorak VII (saraf muka) yang mengakibatkan ketidakupayaan mengawal otot muka pada bahagian yang terjejas.

Ia menyebabkan kelemahan atau lumpuh di sebelah muka dan boleh menyebabkan bahagian muka untuk terasa berat di sekitar mata dan mulut.

Wan Rahim berkata Husam telah dirawat di klinik akupunktur selama hampir sebulan.

Husam mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PAS minggu depan – Mstar

Mesej Ahmad Awang Kata Hudud Digunakan Untuk Berbalah Sesama Ahli PAS

Posted on

AIDCNews – 29/5/15 – Calon Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang membuat kesimpulan bahawa isu hudud sengaja ditimbulkan bertujuan untuk mewujudadkan perbalahan sesama ahli parti.

“Kesimpulan yang saya lihat keadaan sekarang ini, sudah jadi..digunakan isu ini (hudud) untuk menimbulkan masalah sesama sendiri

“Bukan nak atasi supaya masalah ini dapat dihindar atau diperbaiki, “kata Ahmad Awang rakaman temu bual bersama sebuah saluran media alternatif yang dimuat naik di YouTube.

Ahmad memulakan persoalan dengan bertanya soalan berbunyi, “Siapa ahli atau pemimpin PAS yang tak sokong hudud? Cuba tunjuk siapa dia.

Blogger PAS, Nordin Ali berkata rakaman wawancara bersama Ahmad Awang itu merupakan satu bentuk kempen secara agresif untuk menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya menonton video kempen terkini Ustaz Ahmad Awang kononnya tak ada ahli PAS yang tolak hudud.

“Tahniah kepada team yang buat video ini dan kempen yang agresif untuk menjatuhkan Ustaz Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS,”katanya.

Menurutnya, tiada ahli PAS akan mengaku bahawa mereka menolak hudud, tetapi bahasa dan gaya sudah mencerminkan penolakan terhadap undang-undang Islam tersebut.

Ia merujuk kepada kenyataan Dr Dzulkifli Ahmad, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat yang berhujah berkenaan hudud.

“Bahasa dan cara gaya yang diungkapkan memang menolak hudud, hanya kita tak boleh baca hati dia sebagaimana Presiden PAS mengatakan hati hanya Allah sahaja yang tahu.

“Kita menghukum dari segi apa yang kita boleh faham mengikut bahasa percakapan. Saya rasa apa yang di sebut oleh Ustaz Ahmad Awang adalah tidak benar,”katanya.

Nordin Ali turut menolak pendapat Khalid Samad yang mendakwa buat masa sekarang, PAS tidak perlu bercakap berkenaan hudud kerana untuk menjaga sensitiviti masyarakat bukan Islam, biarlah Pakatan Rakyat (PR) dapat tawan Putrajaya terlebih dahulu barulah selepas itu hudud dapat dilaksanakan.

“Saya masih bertegas dengan pendapat saya dalam penulisan saya yang lalu jika PR tawan Putrajaya tak ada siapa akan buat hudud. DAP kalau belum tawan dah bantah macam orang giler, selepas tawan Putrajaya dengan kuasa yang lebih besar sudah pasti tidak akan bersetuju malah silapsilap PAS akan terpencil oleh pakatan DAP dan PKR.

“Adakah pimpinan PAS di atas nak buat hudud? Semoga Allah selamatkan PAS daripada kepimpinan yang “hanyut”,”katanya.

PAS Tidak Berhak Tentukan Apa Saya Perlu Cakap – Guan Eng

Posted on

AIDCNews – 28/5/15 – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pimpinan PAS tidak berhak menentukan apa yang perlu beliau lakukan (cakap) kerana beliau bukan mewakili parti itu.

“Bukan PAS yang menentukan apa yang perlu saya lakukan (cakap). Hanya pimpinan DAP sahaja yang boleh tentukan saya.

“Apa yang saya tahu, Kami (DAP) hanya menyuarakan perinsip dan pendirian kami. Saya akan terus terus bersuara di mana dan bila-bila sahaja apabila diperlukan untuk kepentingan parti dan rakyat” kata beliau di lobi Parlimen hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz yang meminta beliau menghentikan polemik serangan terhadap PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar parti itu kekal berada di dalam pakatan pembangkang.

“Bagi saya, kalau semakin DAP serang ulama seperti presiden (Abdul Hadi), semakin orang (anggota parti) simpati kerana hendak mengundi bukan DAP, tetapi ahli PAS. Tak tahulah kalau DAP mahu Haji Abdul Hadi kekal (presiden) senang hendak keluar Pakatan Rakyat,” kata Nik Abduh semalam.

Guan Eng berkata beliau sepatutnya digalakkan terus mengkritik Hadi jika ia menguntungkan Presiden PAS dalam pemilihan parti itu minggu depan

“Sekiranya perbuatan kami boleh membawa faedah kepada Hadi, saya pasti Hadi harus menggalakkan kami untuk terus bersuara lantang lagi,” katanya

Sambil menegaskan beliau tidak berniat mencampuri urusan pemilihan PAS, Guan Eng berkata beliau sudah dapat meramalkan bahawa Hadi akan terus dipilih menerajui PAS.

“Kami rasa Hadi akan menang (dalam pemilihan PAS itu).

“Bila saya menyatakan pendirian parti (DAP), saya tidak bercakap hanya pendapat peribadi saya sahaja, saya mewakili pendapat keseluruhan parti.

“Hadi boleh bercakap mewakili dirinya sahaja, (tetapi) saya tidak. Saya bercakap mewakili parti.

“Jadi, jika apa yang saya katakan itu memberi manfaat Hadi, maka saya yakin beliau akan menggalakkan saya untuk terus bercakap, betul tak” katanya sambil ketawa.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Jawatankuasa Tertinggi DAP telah bermesyuarat pada 25 Mei untuk mengukuhkan lagi keputusan yang dibuat sebelum ini.

“Hadi dijamin menang dan tidak memerlukan sebarang bantuan luar memenangi kerusi presiden PAS.

“Atas sebab ini pimpinan tertinggi DAP, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 25 Mei mengulangi kesediaan berdepan sebarang kemungkinan bagi PR pada masa akan datang,” kata Guan Eng yang meramalkan gabungan pembangkang itu akan berpecah.

Pada 23 Mac lalu, Jawatankuasa Tertinggi DAP telah membuat keputusan sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Hadi.

Ahli Parlimen DAP Dakwa Tak Tahu Sudah Disaman

Posted on

malaysiagazette – Ahli-ahli Parlimen DAP yang didedahkan memiliki sejumlah saman trafik yang belum dibayar mendakwa mereka tidak mengetahui telah menerima saman daripada pihak penguat kuasa.

Ketika dihubungi China Press, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun serta Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengakui mereka tidak tahu telah disaman.

Mereka pada masa yang sama bagaimanapun bersedia menjelaskan saman tertunggak masing-masing.

Teresa berkata, beliau mendapati dirinya telah menerima lima saman selepas melakukan pemeriksaan di Internet dan kesemuanya membabitkan kesalahan meletak kenderaan.

“Kemudahan pengangkutan awam di Kuala Lumpur tidak sempurna, jadi kadang-kala meletak kenderaan secara sembarangan ketika mengejar masa.

“Saya percaya masalah ini juga dihadapi oleh rakyat secara umumnya,” katanya sambil ‘membela diri’.

Kui Lun pula mendakwa daripada lima saman yang didaftar di bawah namanya, dua daripadanya adalah untuk kesalahan yang sama sementara satu lagi bukan melibatkan kereta miliknya.

Tony pula berkata, walaupun memandu sendiri, tetapi beliau tidak pernah mendapati diri pernah disaman.

“Saya akan melakukan semakan dan jika betul-betul ada saman, saya akan menjelaskannya,” katanya.

Isu saman timbul apabila Ahli Parlimen Segambut mengkritik Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana belum menjelaskan dua saman Sistem Penguatkuasaan Elektronik (AES).

Keadaan itu bagaimanapun mengundang ‘serangan balas’ Bendahari Pemuda MCA Lee Beng Seng yang mendedahkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham sahaja mempunyai 76 saman yang belum dijelaskan.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai pula mempunyai 70 saman, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming (12), Tony (16), Kui Lun (lima),Teresa Kok (tiga) dan Seng Giaw (tiga).

DAP Sengaja Cari Pasal Lagi, Tuduh Hudud ‘Alat Politik’ PAS

Posted on

AIDCNews – DAP didakwa sengaja mencari pasal lagi apabila menuduh hudud yang diperjuangkan PAS adalah ‘alat politik’ semata-mata dan bukannya isu agama.

“DAP cari fasal lagi, dengan menuduh versi undang-undang jenayah Islam atau hudud yang diperkenalkan PAS adalah sebagai “alat politik”.

“Kata DAP, versi undang-undang jenayah Islam atau hudud yang diperkenalkan PAS ialah “alat politik”, dan mendakwa ia digunakan untuk memecahbelahkan pembangkang kerana PAS cuba mendapatkan sokongan wakil rakyat Islam di Parlimen bagi meluluskan pindaan undang-undang yang akan membenarkan hudud dikuatkuasakan di Kelantan.

“Ia antara kesimpulan yang dibuat rombongan pemimpin DAP yang melawat 2 negara Timur Tengah bulan lepas bagi mempelajari mengenai politik Islam dan bagaimana undang-undang agama diguna pakai di negara Islam lain.

“Menuduh hukum hudud sebagai ‘alat politilk’ dan ‘hudud sempit’ adalah amat keterlaluan. DAP memang cari fasal lagi untuk memecah belahkan pembangkang.kata blogger PAS, ibnuhasyim.

Ia merujuk kepada kenyataan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari dalam The Malaysian Insider hari ini.

“Di Malaysia, perbincangan hudud sempit dan digunakan sebagai isu politik untuk memecahkan pembangkang.

“DAP tidak menentang hudud sebagai hukum Islam, tetapi kami mempersoalkan pelaksanaannya di Kelantan, khususnya kesesuaian masa. Kenapa ia perlu dibangkitkan sekarang pada ketika ini?

“Sedangkan daripada segi keutamaan, jelas terdapat pelbagai lagi perkara asas yang perlu diselesaikan sebelum keadaannya menjadi sesuai,” kata Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Menurutnya, satu lagi pengajaran diperoleh delegasi DAP ke Mesir dan Jordan itu adalah setiap negara mempunyai undang-undang syariah mereka sendiri yang terbuka kepada tafsiran dan penyesuaian dengan keadaan tempatan.

“Di kedua-dua negara, mereka memiliki versi undang-undang syariah yang tersendiri.

“Malah, hudud di sana berbeza daripada hudud yang cuba diperkenal PAS di Kelantan.

“Ini membuktikan undang-undang Islam memerlukan tafsiran dan kebijaksanaan bagi memastikan ia sesuai dengan konteks semasa,” katanya.

Lawatan mereka pada 13 April itu diketuai Penasihat DAP Lim Kit Siang dan disertai Zairil, Steven Sim, Teresa Kok dan Liew Chin Tong.

Lim Guan Eng Ni Sakit Mental Ke ?

Posted on

AIDCNews – 28/5/15 – Seorang penyokong PAS, Roslan Abdullah bertanya adakah Setiausaha Agung DAP mengalami gangguan mental kerana percakapan dan tindakannya terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbeza mengikut masa dan suasana.

“Lim Guan Eng ni sakit mental ke? Dulu dia kata akan boikot PRK Permatang Pauh kalau Abdul Hadi pergi, hari ini dia persoal pula kenapa tak hadir Kempen semasa di Permatang Pauh.

“Aku nasihat dia gi jumpa pakar jiwa lah,”katanya.

Pada 23 Mac, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (CEC) DAP yang dipengerusikan oleh Guan Eng telah membuat keputusan sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Hadi.

“DAP tidak dapat bekerjasama dengan presiden PAS Hadi Awang, yang berterusan melaksanakan taktik tidak jujur dan tidak bermaruah,”kata Guan Eng dilapor pasukan theantdaily.

Ekoran keputusan CEC, membuktikan kehadiran Hadi tidak diperlukan dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

“Di peringkat akar umbi, ahli DAP dan PAS tiada masalah, kami boleh bekerjasama, tetapi masalah kami hanyalah Hadi,” kata Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh.

Ram Karpal berkata, faktor Hadi berkemungkinan menjadi liabiliti terhadap jentera pakatan pembangkang ekoran isu hudud yang diperjuangkan parti Islam itu.

Namun, selepas PRK Permatang Pauh dimenangi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Guan Eng menjadikan ketidakhadiran Hadi dalam PRK itu sebagai satu isu utama.

“Bukan sahaja tidak hadir ke kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau malah tidak menyatakan sokongan terbuka kepada Wan Azizah.

“Ini menunjukkan walaupun tubuh badan beliau masih bersama Pakatan, hatinya sudah bersama Umno,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada 25 Mei, lapor Malaysiakini.

Guan Eng dilaporkan The Malaysian Insider berkata mesyuarat DAP pada 25 Mei telah mengekalkan keputusan 23 Mac iaitu menyingkirkan Hadi daripada Pakatan Rakyat.

“Atas sebab ini pimpinan tertinggi DAP, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 25 Mei mengulangi kesediaan berdepan sebarang kemungkinan bagi PR pada masa akan datang,” kata beliau yang meramalkan gabungan pembangkang itu akan berpecah.

Malah, Guan Eng terus mengasak Hadi untuk menjawab lima soalan :

1. Kenapa Abdul Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan jaminan peribadinya kepada pimpinan Pakatan?

2. Kenapa Abdul HAdi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kemelut 1MDB?

3. Kenapa Abdul Hadi mahu mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama UMNO?

4. Kenapa Abdul Hadi enggan menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh baru-baru ini?

5. Kenapa Abdul Hadi mengisytiharkan bahawa menjadi kewajipan umat Islam untuk menyatakan kemarahan terhadap DAP kerana membantah undang-undang hudud?

Dua Beranak Lim Tidak Perlu Jadi Batu Api – Pemuda PAS

Posted on

1. Pemuda PAS keseluruhannya melahirkan rasa kesal dengan kenyataan bersifat serangan yang dikeluarkan oleh Penasihat DAP, YB Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kenyataan yang berunsurkan provokasi dan fitnah secara berterusan kepada pemimpin tertinggi kami adalah perbuatan yang menghiris perasaan para anak muda dan penyokong PAS di segenap lapisan.

2. Suka saya mengingkatkan kepada DAP bahawa yang akan bermuktamar dan pemilihan kepimpinan pada awal Jun nanti adalah para pimpinan dan perwakilan PAS. Jadi, amatlah tidak manis sekali apabila DAP pula begitu resah-gelisah dan sibuk berkempen di media untuk memberi tunjuk-ajar kepada para ahli PAS siapakah yang layak untuk mengemudi PAS. Perbuatan masuk-campur urusan dalaman parti dan menjadi batu-api ini adalah di luar kerangka Common Policy Framework Pakatan Rakyat seperti yang sering diulang-sebut oleh DAP.

3. Tuduhan yang dilemparkan oleh DAP kepada Presiden PAS kononnya Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengkhianati Pakatan Rakyat dan hatinya bersama UMNO adalah tuduhan yang begitu berat dan berunsur fitnah. Kisah Unity Government (UG UMNO-PAS) juga bagaikan hantu yang begitu menakutkan DAP sedangkan ia adalah kisah lama yang telah diputar-belit dan menjadi sejarah. Sedangkan, YB Lim Kit Siang sendiri pada baru-baru ini mencadangkan “Save Malaysia Govenment” yang menggabungkan ahli Parlimen PR dan BN. Bukankah ini adalah pengkhianatan kepada rakyat secara terang lagi terbuka?

4. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh Presiden PAS mempunyai jiwa UMNO kerana Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak turun berkempen di PRK Permatang Pauh. Saya ingin bertanya, adakah Lim Guan Eng dan gerombolan pimpinan tertinggi DAP ada turun berkempen di PRK Rompin yang melibatkan calon PAS baru-baru ini? Jikalau kita menggunakan sifir Lim Guan Eng itu, bolehkah disimpulkan bahawa beliau berjiwa UMNO-BN juga kerana tidak pun turun berkempen dan beliau tidak juga menyatakan sokongan secara terbuka kepada calon PAS di PRK Rompin? Lebih baik beliau beringat sebelum sibuk menyerang orang lain, bak kata pepatah “bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.”

5. Justeru, kami menegaskan dan memperingatkan kepada DAP agar jangan mengamalkan dasar masuk campur hal ehwal dalaman parti rakan kerana ia akan merosakkan hubungan kerjasama yang telah dibina selama ini. Sepertimana DAP marah sekiranya orang PAS berkempen di dalam pemilihan kepimpinan DAP, maka seperti itulah yang kami harapkan agar DAP usahlah sibuk tumpang berkempen untuk mengajar kepada perwakilan PAS siapakah yang layak untuk memimpin PAS sesi kepimpinan 2015/2017.

Ir Haji Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan