Wan Rahim Ucap Tahniah Kepada 2 Wakil Rakyat PAS Berani Lawan Arus

Posted on

AIDCNews – 26/5/15 – Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Wan Abd Rahim Wan Abdullah mengucapkan tahniah kepada dua wakil rakyat PAS, iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen PAS) dan Zaki Ibrahim (ADUN Kelaboran) kerana berani menongkah arus.

“Tahniah YB MP Tumpat dan YB ADUN Kelaboran di atas keberanian anda berdua menongkah arus,”kata Wan Rahim dalam Facebooknya.


Ia merujuk berkenaan satu poster yang menunjukkan penglibatan Kamaruddin dan Zaki dalam satu ceramah tapak pasar malam di Bandar Tumpat yang akan diadakan pada 29 Mei.

Program ceramah yang bakal diadakan itu adalah anjuran Majlis Tindakan DUN Kelaboran yang merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Tumpat, Kelantan.

Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Tumpat.

Selain Kamaruddin dan Zaki, tiga penceramah luar turut dijemput, iaitu calon Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang; calon Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan wakil DAP, Zairil Khir Johari.

Kamaruddin merupakan sahabat karib Anwar Ibrahim yang menyertai PAS selepas mentornya dipecat UMNO pada September 1998.

Zaki pula bekas Ketua Pemuda PAS Kelantan, manakala adiknya, Zamaksari Ibrahim ketika itu adalah Ketua AMK Kelantan.

Menurut Naib Pengerusi PASMA Kelantan, Che Ibrahim Mohamad, beliau mendapat berita bahawa Zaki telah tewas sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tumpat dalam pemilihan kawasan itu baru-baru ini.

Begitu juga dengan anak buah Kamaruddin, Mohamad Nawawi Hj Adam yang turut tewas untuk jawatan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Tumpat.

Zaki dilaporkan Sinar Harian gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tumpat apabila dikalahkan oleh ADUN PAS Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Menurut MSO, pergolakan PAS Tumpat berlaku sejak dari tahun 2009 apabila berlaku kekosongan kerusi Yang Dipertua kawasan itu ekoran kematian Wan Mohamad Jamil Mohamad.

Sepatutnya, kekosongan itu diganti oleh Datuk Ahmad Yaacob ketika itu adalah Timbalan yang Dipertua PAS Tumpat.

“Ahmad Yaacob adalah Timbalan Menteri Besar. Beliau juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan. Apabila tradisi ini tidak berlaku di Tumpat ia mencerminkan ada sesuatu yang tidak kena di Tumpat.

“Orang yang disebut-sebut akan merebut jawatan YDP Tumpat ialah, Nawi (Mohamad Nawawi) Adam iaitu Ketua Penerangan Pas Tumpat.

“Jika hendak dikira dari segi munasabah orang paling sesuai atau mampu untuk berdepan dengan Ahmad Yaacob ialah ADUN Kelaboran, Zaki Ibrahim yang juga Naib YDP PAS Tumpat kini. Kalau Zaki paling munasabah untuk diadukan dengan Ahmad Yaacob. Zaki juga adalah bekas ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan.

“Tapi Zaki khabarnya hanya berani untuk merebut jawatan timbalan YDP saja. Beliau akan berdepan dengan Che Lah Nawi yang juga Adun Wakaf Baru dan seorang berkelulusan ekonomi luar negeri. Ataupun Kamaruddin Jaaffar, ahli Parlimen Tumpat yang juga Bendahari kini. Kamaruddin lebih berpengalaman dan berkemampuan untuk diletak sebagai YDP.

“Tetapi kenapa Nawi? Siapa Nawi? Dia ialah Ketua Penerangan PAS dan juga merupakan pegawai peribadi kepada Kamaruddin Jaaffar selaku ahli Parlimen Tumpat. Apakah Nawi hanya sebagai alat atau dijadikan umpan saja?

“Ada pendapat mengatakan Zaki sengaja menghantar bekas pembantunya dalam Pemuda itu berhadapan dengan Ahmad,”kata MSO.


Sementara itu, Wan Rahim memberitahu bahawa PAS Kota Bharu memohon maaf jika program anjuran pihaknya menjemput Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menyinggung perasaan pimpinan PAS Kelantan.

Menurut Harakahdaily, PAS Kelantan telah memanggil Wan Rahim bagi mendapat penjelasan mengenai ceramah Kit Siang pada 10 Mei itu.

Pada ceramah itu, Kit Siang menyifatkan kerajaan Mesir dan Jordan tidak melaksanakan perundangan syariah biar pun negara ini mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Ekoran kenyataan terbabit menyebabkan banyak pihak termasuk Majlis Syura Ulamak PAS meminta Kit Siang memohon maaf kerana dianggap tidak menghormati pendirian kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (KJS).

Kit Siang Bina Persepsi Pakatan Rakyat Milik DAP

Posted on

AIDCNews – 26/5/15 – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa Pakatan Rakyat akan berkubur selepas muktamar PAS membina satu persepsi seolah-olah Pakatan Rakyat adalah milik DAP dan PKR, kata Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim :

Saya secara peribadi tidak melihat Pakatan Rakyat akan mati selepas muktamar PAS 4-6 Jun ini seperti ancaman yang dibuat oleh Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.

Yang akan mati adalah penguasaan tidak langsung DAP dan PKR di dalam PAS yang selama ini telah menyebabkan saf kepimpinan PAS tidak boleh berfungsi sebagai satu jentera yang bersatu, cekap dan berkesan.

Apa strategi yang dirangka Presiden bukan sama sama dijayakan, tapi digagalkan oleh yang diamanahkan membantu Presiden.

Keadaan inilah yang melemahkan PAS. Merencat banyak agenda. Membingungkan ahli. Menghilangkan fokus. Merugikan PAS dalam banyak perundingan melibatkan isu-isu penting seperti pembahagian kerusi untuk ditandingi, manifesto bersama, pembentukan kerajaan PR.

Hal persepsi yang cuba dibentuk oleh DAP dan PKR bahawa seolah-olah merekalah de facto leader yang boleh berkonsensus sesama sendiri dengan seolah-olah PAS sekadar ‘filler’ atau sebagaI rakan sekadar mencukupkan korum mungkin menjayakan agenda DAP dan PKR untuk meraih sokongan di kawasan-kawasan yang mereka tandingi yang rata- rata mempunyai kelompok pengundi bukan Melayu yang ramai.

Akan tetapi ini melemahkan usaha PAS yang perlu berdepan dgn UMNO di kawasan kerusi majoriti Melayu/Islam.

Bilangan kawasan majoriti Melayu adalah yang paling besar. UMNO dalam PRU13 yang lalu menang sehingga 87 kerusi dengan pendekatan menimbulkan keraguan tentang masa depan agama Islam dan orang orang Melayu jika PR berkuasa.

Apa yang berlaku selepas PRU13, layanan DAP dan PKR terhadap PAS, dengan sentiasa membuat keputusan bersama terlebih dahulu sebelum melibatkan PAS, persepsi pengaruh dan penguasaan mereka terhadap beberapa pemimpin kanan PAS yang sangat menjolok mata sehingga sanggup bercanggah dan ‘bergasak’ dengan Presiden PAS dan Majlis Syura Ulama yang merupakan institusi institusi yang tertinggi yang ditentukan dalam perlembagaan PAS dan kesanggupan menggunakan media untuk mempertikai perjuangan teras yang menjadi matlamat perjuangan PAS seolah-olah mengiyakan tuduhan tuduhan yang dibuat terhadap PAS sebelum ini.

PAS perlu hapuskan semua tanggapan /persepsi ini sebelum melangkah ke PRU14.

Pakatan Rakyat perlu betulkan keadaan ini jika mahu ke Putrajaya.

Tanpa penguasaan di kawasan kawasan majoriti Islam/Melayu yang bilangannya adalah paling besar, PR tetap hanya mungkin boleh kekal di Pulau Pinang sahaja dan negeri-negeri tradisi PAS.

Tugas ini tanggungjawab PAS. PAS kena patahkan dakyah ancaman terhadap Melayu dan Islam ini.

Tindakan mengancam, menunjuk lagak sebagai parti yang dominan dalam PR, menerbitkan senarai ‘Kabinet Bayangan’ menggambarkan penguasaan bukan Melayu dan Islam, adalah kebebalan melampau yang gagal memahami sentimen lebih 60% pengundi Melayu/Islam.

Walau dinafikan dengan alasan itu hanyalah ‘pemimpin2 DAP yang bertanggungjawab dalam parti bagi portfolio berkenaan’, bagaimana pula dengan sebaran senarai penuh yang juga terkandung pemimpin-pemimpin dari PKR dan juga PAS ?

Saya, insyaAllah akan hadir juga selaku perwakilan di Muktamar PAS Pusat nanti. Saya akan mengundi dalam pemilihan saf kepimpinan PAS.

Saya masih memberi harapan kepada Pakatan Rakyat.

Dalam pandangan saya, Pakatan Rakyat akan menjadi kuat jika struktur kuasa yg terbentuk adalah reflektif dan representatif kepada realiti susunan populasi rakyat Malaysia.

PAS yang dilihat mewakili kepentingan orang orang Islam dan Melayu perlu dilihat memainkan peranan memimpin, bukannya sebagai follower yang ditentukan sikapnya oleh orang lain.

Bagi tujuan itu PAS perlu diperkuat. Persepsi kuat pada PAS akan timbul jika PAS memenangi paling banyak kerusi.

Untuk itu semua jentera parti tidak ada masa lagi melayan karenah caca marba dalam saf kepimpinan.

Perwakilan perlu buat pilihan saf kepimpinan yg boleh bekerja sepasukan, saling percaya mempercayai.

Perwakilan perlu seimbangkan dan utamakan kepelbagaian dalam disiplin ilmu agar saf kepimpinan terdiri dari pelbagai kalangan agamawan, profesional, aktivis rakyat dan sebagainya.

Pastikan cuma yang ‘sekepala’.

Jangan kita letakkan beban yang berat bagai biawak hidup di belakang Presiden yang dipilih. Sudahlah berat, mencakar pula hingga cedera.

Dan sampai hati Murobbi yang sepatutnya diberi semua alatan dan kemudahan untuk melancarkan ‘larian’, kita pula pikulkan beban dan kemudian pakat pakat bersorak ” Hey, apa laaa…slow!”

PAS kuat insyaAllah PR akan juga kuat.

Yang akan lemah adalah pemimpin seperti Lim Kit Siang.

PAS Akan Kalah PRU 14 Jika Hadi Presiden Parti – Ahmad

Posted on

AIDCNews – 25/5/15 – Calon Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang menjangkakan PAS akan kalah dengan teruk pada Pilihanraya Umum ke-14, sekiranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih kekal sebagai presiden parti.

“Kalau mereka ini yang terpilih, (kalau) mengenepikan mereka yang kalah, saya percaya PAS tak boleh pergi ke depan. PAS kalau tidak ke belakang, hanya kekal di situ sahaja.

“Jadi banyak perkara tak boleh dilaksanakan menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Kalau begitu keadaannya, saya tak nampak PAS boleh menang (pilihan raya), silap-silap Kelantan pun terbang,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Berikut sedutan temubual Ahmad bersama Malaysiakini.

Malaysiakini: Bagaimana ustaz lihat pencapaian Hadi sepanjang memimpin PAS berbanding allahyarham (presiden sebelumnya) Datuk Fadzil Noor?

Ahmad: Pencapaian Hadi berdasarkan pencapaian terdahulu. Kita tak boleh nak letak bersendirian. Masa ustaz Fadzil Noor, dia meluaskan ruang dan tidak hanya terhad kepada golongan ulama atau orang yang berlatar belakang agama sahaja tetapi golongan profesional turut menyertai PAS dan ia berjaya.

Pencapaian yang dicapai Fadzil disambung terus oleh Hadi selama lebih satu dekad. Semasa zaman almarhum, lahir Barisan Alternatif dan DAP tinggalkan Barisan Alternatif kerana menerima kekalahan besar pada 1999 kerana bersama PAS.

Tapi pada 2008, keputusan PRU12 membawa balik DAP bersama PKR dan PAS dan wujudnya Pakatan Rakyat di mana presiden ketiga-tiga parti adalah pimpinannya.

Pencapaian ini sambungan almarhum dan diperkuatkan pada zaman presiden sekarang. Cuma mutakhir ini ada masalah dalam konteks hubungan ketiga-tiga parti khasnya antara PAS dan DAP dan mungkin PKR juga.

Tetapi PAS tetap mendukung atau berpendirian untuk bersama Pakatan sebab kalaulah tak bersama Pakatan, seolah-olah PAS kebelakang dan menjadi parti yang berkisar bukan sahaja pada orang Melayu tetapi hanya kepada Pantai Timur sahaja.

Dengan slogan “PAS For All” (PAS untuk Semua), jadi kita tetap untuk meneruskan usaha ke arah menyiapkan PAS di peringkat nasional dan antarabangsa dan saya ada keyakinan itu. Semua (presiden) mempunyai kelebihan masing-masing di setiap zaman mereka.

Mungkin keadaan sekarang, anjakan oleh pihak dan sebahagian ahli untuk memperluaskan lagi usaha supaya (PAS) tidak balik ke belakang.

Andai kalah pada pemilihan kali ini, akan sertai parti lain?

Kalau saya sendiri saya tak sedia menyertai parti lain dan saya tak mahu mereka (penyokong) ke parti lain.

Kalau mereka ini yang terpilih, mengenepikan mereka yang kalah, saya percaya PAS tidak akan boleh pergi ke depan. Kalau tak terbelakang akan kekal di situ. Jadi banyak perkara tak boleh dilaksanakan menjelang PRU14.

Kalau begitu keadaannya, saya tak nampak PAS boleh menang. Silap-silap Kelantan terbang. Maknanya, ahli akan menilai, (kalau) macam ini teruk (parti), mereka akan bangkit semula supaya tidak ambil pimpinan tadi kerana majoriti tidak bersedia dengan golongan yang mengasingkan kumpulan yang seolah-olah tak memihak pada mereka.

Sekiranya ustaz kalah, adakah akan tamat hubungan PAS dan Pakatan?

Tak semestinya. Mungkin ada pemimpin lain yang kuat untuk bersama Pakatan. Mungkin boleh diteruskan usaha itu dan mungkin memakan masa untuk perbaiki keadaan itu. Kalau yang nombor satu tak dapat bersama dengan orang lain pun, payah juga.

Mungkin lepas muktmar, kalau betul saya kalah, mudah-mudahan tidak, tapi dapat 40 atau 45 peratus sahaja undi, ini juga satu mesej yang boleh menjadi peringatan kepada presiden yang menang.

Tentu dia akan baiki apakah sebab orang tidak boleh menerima kedudukan yang sedia ada. Maknanya, ini sebagai wake up call. Sebabnya sudah teruji berdasarkan peratusan itu dan ia juga satu kejayaan pada saya.

Ustaz bersedia untuk berdebat dengan Hadi?

Oleh kerana Harakah Bazaar bawah organ parti dan saya pernah cakap sebelum ini bahawa organ parti tak boleh digunakan oleh mana-mana calon untuk nyatakan sikap dan pendirian mereka untuk berkempen.

Sekarang ini, bila dah digunakan oleh Harakah, sepatutnya saya pun diberi peluang juga. Tapi saya belum berhubung lagi dengan mereka. Saya akan cuba hubungi tapi kalau (mereka) tak bagi tak apalah.

‘Pemecatan’ Tiga Ikon PAS Sengaja Disensasi

Posted on

AIDCNews – 25/5/15 – Tidak ada pemecatan terhadap ‘tiga ikon PAS’ ia hanya disensasi menjelang muktamar parti, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini.

“Ini adalah isu yang sengaja diada-adakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Menjelang Muktamar Tahunan PAS, macam-macam benda seperti ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

“Kepada PAS, pandangan kebaikan kepada parti bukan kesalahan. Tak ada sebab benda-benda seperti itu diambil tindakan.

“Saya suka mengingatkan kepada semua pihak supaya jangan membuat kenyataan yang tidak betul dan tidak tepat mengenai PAS,” ujarnya lagi.

Beliau menyatakan demikian ekoran laporan sebuah akhbar mengenai tiga ikon PAS yang sering menghiasi pentas ceramah parti itu kini berada dalam dilema, gara-gara didakwa mengkritik pimpinan parti itu sehingga menjadi viral di laman sosial.

Ia merujuk kepada Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak, artis Wan Aishah Wan Ariffin dan bekas Mejar Zaidi Ahmad yang didakwa mengkritik pimpinan parti melalui aplikasi WhatsApp.

Leman dan Aishah menyertai PAS pada tahun 2012, manakala Zaidi pada 2015.

Selepas menyertai PAS, Leman telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Dewan Pemuda PAS Pusat; Wan Aishah, Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat dan bekas Mejar Zaidi, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Sungai Petani.

Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat yang disertai Leman dan Aishah dikaitkan dengan dua sayap parti yang tidak menyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.

Manakala Zaidi pula terang-terangan menolak Hadi apabila beliau tampil berpihak kepada Ustaz Ahmad Awang semasa menyerahkan pencalonan untuk jawatan Presiden PAS baru-baru ini.

Leman dilaporkan Sinar Harian mendakwa beliau bersama dua ikon parti lain didesak pecat keahlian parti setelah mengkritik kepimpinan ulama PAS.

“Apabila menyuarakan pendapat supaya ustaz dalam PAS jangan terlalu ekstrem dan perlu membuat pendekatan kepada bukan Islam selain jangan kecewakan harapan anak-anak muda yang mengundi parti, didesaknya pula kami dipecat,” katanya.

Mengulas mengenai perbualan terbabit, Leman antaranya membangkitkan isu rakyat yang mempersoalkan pimpinan mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin Islam yang sepatutnya bergaul dengan bukan Islam kerana ia termasuk dalam konsep peradaban Islam dan siasah politik.

“Ada sesetengah golongan ustaz dalam PAS yang dipilih menjadi pemimpin gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin Islam. Mereka bukan hanya memberi kuliah Subuh atau Maghrib tetapi perlu peka semua aspek termasuk isu akar umbi hingga peringkat nasional,” katanya.

Menurutnya, kelemahan golongan itu yang diangkat menjadi pemimpin hanya dengan memberi ceramah agama dan pandai bercakap tetapi langsung tidak menjiwai rakyat bawahan yang daif dengan permasalahan ekonomi.

“Ada sesetengah ahli mengkritik jemaah sendiri bagi mendapatkan jawatan, sedangkan dalam Islam harus memberikan idea dan hala tuju masa depan parti apabila dipilih sebagai ketua. Ada pemimpin hanya menggunakan Islam dan agama demi kepentingan peribadi,” katanya.

Leman berkata, selepas kenyataan itu diviralkan dalam WhatsApp, ada golongan yang menyarankan agar beliau dipecat daripada parti.

Sementara itu, Aishah menegaskan kenyataan kekecewaan beliau itu bukan sebahagian daripada ucapannya di mana-mana program, sebaliknya ia hanya perbualan grup WhatsApp.

“Ia sebahagian dari perbualan dalam grup WhatsApp yang diviralkan. Seingat saya, ketika itu kami sedang berbincang tentang definisi ulama, saya juga ditanya kenapa sertai PAS. Macam-macam isu dibincangkan secara baik,” katanya.

Menurutnya, beliau memberikan pandangan dan jawapan secara ikhlas termasuk mengenai pergolakan PAS sekarang namun, kesal kerana perbincangan yang dianggap tertutup itu tersebar dan dijadikan isu.

“Kalau rasa nak kecam, kecamlah. Nak pecat sama sekali pun terpulanglah. Saya tidak bimbang, sekadar mahu perbetulkan persepsi yang saya dianggap mengkritik kepimpinan secara terbuka,” katanya.

Aishah turut mempersoalkan apakah kepimpinan dalam parti tidak boleh dikritik, tambahan pula pandangan itu disuarakan secara santai melalui laman sosial.

“Komen yang saya berikan hanyalah dalam grup WhatsApp sahaja. Takkan pula dalam laman sosial pun tak boleh menyatakan pendirian secara peribadi?” katanya yang secara spontan teringatkan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil berkias, ‘things are not the same without him’.

Leman dilaporkan Mstar terus membuat serangan lebih keras terhadap kepimpinan ulama yang dilabelkannya sebagai lebai mercun, berselindung atas nama Islam semata-mata untuk berkuasa.

“Saya masih ahli PAS yang sah dan boleh mengkritik siapa sahaja, antaranya lebai-lebai mercun yang balik dari Mesir tak cukup senawi mengaku ulama sehebat seantero Malaysia.

“Lebai-lebai mercun ni tak suka berbaik dengan orang bukan Islam sebagai medan dakwah ukhwah sebaliknya mengkafirkan mereka secara lantang tanpa menghormati sentiviti agama. Apabila diangkat menjadi pemimpin, mereka hanya pandai bercakap bab dakwah, Islam dan sebagainya tapi langsung tidak turun ke akar umbi melihat nasib rakyat bawahan,” katanya pada Isnin.

Walaupun mengaku baru menyertai PAS, namun Leman menasihati lebai-lebai mercun itu supaya tidak terus besar kepala.

“Kepada lebai-lebai mercun dalam PAS yang merosakkan parti dan jemaah, jangan dok buat kepala!

“Tak payah nak sembang hang orang lama dalam PAS kalau setakat tarbiyah cap ayam dok berlagak usrah sana sini tapi perangai tak seperti orang yang kena tarbiyah. Merekalah lebai-lebai mercun yang pemecahbelahkan jemaah PAS sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Zaidi dilaporkan Mstar mengaku beliau adalah pegawai khas kepada Ahmad Awang.

“Nak pecat, pecatlah,” katanya ringkas.

Ditanya bagaimana kenyataan yang dibuat menerusi aplikasi Whatsapp tersebar hingga mencetuskan kontroversi, Zaidi berkata, ia disebarkan oleh pihak yang tidak senang dengan pendiriannya.

“Mulanya begini…saya berada dalam sebuah Whatsapp group. Di sana kami membincangkan banyak isu termasuk terbaharu mengenai pemilihan PAS.

“Saya penyokong ustaz Ahmad Awang, jadi sudah pasti saya mempromosikan calon pilihan saya untuk menjadi Presiden.

“Dan bila kita promosikan calon kita, pastinya kita akan kritik calon lawan. Jadi mungkin ada di kalangan ahli group itu yang tak puas hati lalu copy dan paste ke group lain dan sebarkannya secara meluas,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, sebagai ahli baharu, beliau mahu melihat perubahan dalam PAS.

Akuinya, perubahan itu perlu bermula di peringkat kepimpinan tertinggi PAS termasuk kedudukan Presiden.

“Banyak kepincangan dalam PAS pada masa ini, hala tujunya masih ke belakang. Bagi saya, Presiden PAS harus ditukar dengan yang baharu.

“Pada muktamar yang lalu PAS tegaskan mahu pertahankan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, tapi hakikatnya apa yang berlaku sekarang tidak begitu,” katanya.

Guan Eng Yakin Selangor Tidak Tumbang Walau Pakatan Berpecah

Posted on

KUALA LUMPUR: Perselisihan yang semakin ketara antara DAP dan PAS tidak akan menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat yang memimpin Selangor.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui bahawa terdapat kemungkinan berlakunya perpecahan Pakatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, tetapi ia tidak semestinya bermakna kejatuhan kerajaan negeri Selangor.

“Di Selangor, separuh daripada wakil rakyat menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan jadi, jika Pakatan berpecah, tidak perlu untuk kerajaan negeri dibubarkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.

Tetapi beliau berkata jika Pakatan tidak berpecah, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa menyatakan pendirian.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan berlakunya perpecahan dalam tempoh dua minggu akan datang seperti yang dicadangkan oleh penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ia adalah sesuatu yang mungkin, tetapi mungkin mengambil masa ‘yang lebih sedikit’.

Pada masa ini, Pakatan mempunyai sejumlah 43 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor dengan Barisan Nasional mempunyai 12 kerusi.

DAP mempunyai 15 kerusi negeri, PKR mempunyai 13, manakala PAS mempunyai 14 kerusi.

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjadiwakil rakyat Bebas selepas pemecatannya Ogos lepas.

Adun PAS Hulu Klang Saari Sungib dan wakil Morib Hasnul Baharuddin digantung selama setahun kerana menyokong Dr Wan Azizah semasa krisis menteri besar Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli jawatankuasa PAS pusat PAS Khalid Samad melahirkan keyakinan bahawa Pakatan tidak akan berpecah.

Beliau berkata keretakan semasa mungkin berlaku kerana “sikap” beberapa pemimpin PAS untuk pemilihan parti yang akan datang pada Jun – Mstar

Suhaizan Tolak Kepimpinan Ulama, Mahu Bawa PAS Kembali Era Burhanuddin Al-Helmy

Posted on

AIDCNews – 25/5/15 – Penyandang Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berusaha untuk mengangkat agenda perjuangan ‘Pemuda Al-Helmy’ sekiranya dipilih sekali lagi meneraju dewan itu.

Al-Helmy merujuk kepada Dr Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PAS ketiga (dahulu dikenali sebagai Yang Dipertua PAS) sekitar tahun 1956 – 1969, zaman sebelum konsep kepimpinan ulama diperkenalkan.

“Saya ingin mengagaskan Pemuda Al-Helmy sebagai gagasan pemuda kemenangan. Pemuda Al-Helmy adalah Pemuda yang memiliki pakej ‘rabbani’, ‘faqih’ dan ‘haraki’,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan memuji Burhanuddin Al-Helmy sebagai seorang yang rabbani, faqih dan haraki yang telah berjaya meletakkan PAS dalam arus perdana gelanggang politik Malaysia.

“PAS di bawah kepemimpinannya berjaya melonjakkan jumlah kerusi parlimen daripada 1 kerusi dalam pilihan raya 1955 kepada 13 kerusi dalam pilihan raya 1959 selain berjaya menawan negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya 1959.

“Ciri rabbaninya telah memberi ketahanan pada jiwanya yang ditahan beberapa kali dalam penjara. Ciri Faqihnya dalam ilmu Fiqh al Nusus dan Fiqh al Waqi’ telah meletakkan beliau setanding dengan pimpinan sezaman dengannya seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar, Ahmad Boestamam dan lain-lain.

“Ciri harakinya telah membawa beliau terjun ke tengah-tengah masyarakat dengan membawa idea-idea Islamik yang mampu dicerna dan diterima oleh masyarakat,”katanya lagi.

Rujukan Burhanuddin Al-Helmy yang menjadi idola Suhaizan itu pernah diperkatakan oleh aktivis sosialis, Hishamuddin Rais dalam menjustifikasikan PAS adalah parti sosialis Islam.

“Ini kerana suasana sejak 2008 pada hemat saya sebagai seorang pemerhati politik sama seperti suasana pada ketika Putera-AMCJA, maka (bendera)Sang Saka dikibarkan,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insider pada tahun 2013.

Menurutnya, gabungan politik PKR, PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) hari ini hampir menyamai gabungan politik kiri terbesar di Malaya sebelum penjajah British, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

PUTERA ketika itu merupakan gabungan enam parti politik sayap kiri iaitu; Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau Parti Nasionalis Melayu (MNP) yang diketuai oleh Dr Burhanuddin; Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai oleh Ahmad Boestamam; Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuai oleh Shamsiah Fakeh; Gerakan Angkatan Muda (GERAM) yang diketuai oleh Aziz Ishak dan Abdul Samad Ismail; Barisan Tani SeMalaya (BATAS) yang diketuai oleh Musa Ahmad dan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA).

Manakala AMCJA pula diketuai Tan Chin Lock yang dianggotai oleh Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), New Democratic Young Leauge (NDYL) Pan Malaya Federation Trade Union (PMFTU) dan lain-lain pertubuhan perniagaan China negeri-negeri Tanah Melayu.

Menurut wikipedia, PKMM, pimpinan Dr Burhanuddin yang berjuang di atas semboyan ‘Suara Rakyat’ atau ‘Voice of the People’ juga tidak terlepas daripada elemen komunis.

Nama Burhanuddin Al-Helmy juga turut diangkat oleh Ustaz Ahmad Awang sebagai justifikasi mengapa beliau bertanding jawatan Presiden PAS.

Menurut Ahmad, keputusan beliau melawan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan perkara baharu kerana perkara sama pernah berlaku pada tahun 1960-an, apabila penyandang jawatan presiden, Dr Burhanuddin Al Helmy dicabar oleh Prof Zulkifli Muhammad pada Muktamar Agung PAS yang kelima.

Dalam pertandingan itu, lapor Tranungkite, Prof Zulkifli mendapat pencalonan yang lebih banyak daripada PAS Kawasan berbanding dengan Dr. Burhanuddin.

“Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum menyertai PAS.

“Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik dan pernah belajar agama di Mesir.

“(Namun) Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad,”lapor portal PAS itu.

Di kalangan pimpinan PAS mutakhir ini, zaman Burhanuddin Al-Helmy dan Tan Sri Mohd Asri Haji Muda (1969 – 1982/Presiden PAS Ke -4) jarang disebut kerana ia melambangkan zaman PAS berada dalam tahap masionalisme Islam atau Sekular Islam.

Corak kepimpinan nasionalisme Islam dan Sekular Islam mula dibersihkan secara perlahan-lahan pada tahun 1980-an apabila Yusuf Rawa menjadi Priseden PAS ke-5 (1982 – 1989) yang memperkenalkan konsep kepimpinan ulama.

Konsep kepimpinan ulama diperteguhkan lagi di bawah kepimpinan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS Ke-6 (1989 – 2002) dan Abdul Hadi Awang, Presiden PAS Ke-7 dari tahun 2002 hingga kini.

Kit Siang Dakwa 2 Minggu Lagi Pakatan Rakyat Bakal Berkubur

Posted on

AIDCNews – 25/5/15 – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa dalam tempoh dua minggu lagi Pakatan Rakyat yang ditubuhkan sejak dari tahun 2008 bakal berkubur.

2 minggu yang dimaksudkan beliau berkemungkinan merujuk kepada pasca Muktamar PAS, di mana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, seorang tokoh politik yang diputuskan hubungan oleh DAP dijangka akan kekal menerajui PAS.

Kit Siang mendakwa polisi bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berbeza dengan polisi Hadi, di mana Nik Aziz didakwa menolak kerjasama dengan UMNO, sebaliknya Hadi mahu bekerjasama dengan UMNO melalui konsep Unity Goverment (UG).

“Di saat dan ketika ini lah kebijaksanaan dan wawasan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat benar-benar dirindukan.

“Tidak ada walau sekelumit sangsi bahawa sekiranya bekas Mursyidul-Am PAS yang juga mantan Menteri Besar Kelantan itu masih hidup, beliau tidak akan membenarkan Pakatan Rakyat berhadapan sebuah krisis antara hidup dan mati. Ini kerana beliau akan memastikan PAS terus yakin dan percaya kepada kedua-dua warga Islam dan bukan-Islam di Malaysia dengan agenda ‘PAS for all’ dan menolak sebarang usaha baru untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan antara PAS dan Umno.

“Bekas pimpinan PAS telah secara terbuka telah menegaskan bahawa idea kerajaan UG ini telah mendapat restu Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang tetapi terhalang akibat tentangan keras Nik Aziz.

“Para penyokong konsep UG ini telah mengambil peluang di atas kematian Nik Aziz, yakin bahawa mereka akan berjaya mencapai sesuatu daripada konspirasi politik tujuh tahun mereka, memandangkan komplot ini bermula sebaik sahaja selesai PRU ke-12 pada tahun 2008.

“Komplot UG Umno sejak awal lagi telah melibatkan pimpinan Umno peringkat tertinggi – seperti Presiden Umno yang juga Perdana Menteri sekarang – dan mesyuarat peringkat tinggi turut diadakan dalam masa beberapa bulan selepas PRU ke-12 namun mereka nampaknya gagal.

“Para konspirator UG mendapati bahwa halangan yang ada agak susah untuk ditembusi, terutamanya pada bantahan tegas dan berprinsip mantan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat serta para penyokongnya pasti tidak akan melupakan kritikan pedas Nik Aziz pada bulan Jun 2009 apabila Mursyidul-Am itu secara terbuka memberitahu Naib Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa untuk meninggalkan PAS dan menyertai Umno sekiranya beliau terus berdegil dengan agenda UG.

“Ini sebabnya kenapa kita terkejut baru-baru ini apabila Hadi mendakwa bahawa cadangan kerajaan UG, ketika ia mula timbul selepas PRU tahun 2008, telah mendapat persetujuan Nik Aziz dan Anwar Ibrahim, serta dimaklumkan kepada DAP.

“DAP tidak pernah dimaklumkan oleh Hadi tentang idea UG tersebut.

“Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan juga Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli telah menafikan bahawa Anwar ada bersetuju dengan konsep UG.

“Nik Aziz tidak mungkin telah bersetuju dengan konsep UG; jika tidak beliau pastinya tidak akan menegur Nasharuddin secara terbuka pada Jun 2009 dan menyuruhnya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Bachok serta menyuruhnya menyertai Umno sekiranya beliau berdegil juga dengan agenda UG.

“Malah sebenarnya amat tidak masuk akal bagi mana-mana parti Pakatan Rakyat untuk bersetuju dengan konsep UG kerana ia didasarkan konsep Kerajaan Perpaduan antara parti-parti politik Melayu, sedangkan Pakatan Rakyat memperjuangkan nasib semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau daerah,”kenyataan Kit Siang dipetik.

Malah, Kit Siang turut mendakwa jika Nik Aziz masih hidup beliau pasti akan menolak konsep UG dan hudud jika dibandingkan dengan PR.

“Pertama sekali, di atas bantahan tegasnya terhadap idea UG yang menjadi penyebab konsep tersebut gagal ketika beliau masih hidup.

“Kedua, Nik Aziz mampu melihat gambaran yang lebih besar terhadap keperluan untuk menyokong pelan tindakan lapan tahun Pakatan Rakyat bagi memastikan survival dan kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU ke-14.

“Tiada sesiapa yang sangsi bahawa Nik Aziz sendiri mahu melihat pelaksanaan segera undang-undang hudud, namun beliau cukup realisitik untuk menyedari bahawa hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan sebarang desakan tanpa konsensus untuk melaksanakannya akan mengakibatkan Pakatan Rakyat berpecah.

“Nik Aziz pastinya memahami hujah-hujah bahawa pelaksanaan hudud bukanlah isu utama berbanding memastikan survival dan kejayaan Pakatan Rakyat, menewaskan Umno/BN serta menawan Kerajaan Persekutuan Putrajaya dalam PRU ke-14 bagi melaksanakan dasar-dasar yang akan memulihkan kebebasan, keadilan, maruah rakyat dan urustadbir yang baik di Malaysia.

“Nik Aziz telah memberi sokongan hebat ke arah pembentukan dan pengukuhan Pakatan Rakyat, walaupun hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama.

“Ini sebabnya kenapa saya tidak percaya hujah bahawa tidak melaksanakan hudud adalah bertentangan dengan prinsip Islam, kerana ini bermakna Nik Aziz dan semua pimpinan serta ahli PAS telah mengkhianati prinsip Islam selama enam tahun sejak PRU ke-12 hingga ke-13 apabila isu pelaksanaan hudud tidak dikemukakan sebagai prinsip teras Pakatan Rakyat pada PRU ke-13.”

Namun, Kit Siang berkata PR masih ada harapan untuk diteruskan, dengan syarat PAS bersedia mengikuti pelan lapan tahun yang digagaskan DAP.

Syarat DAP yang terkandung dalam gagasan lapan tahun itu itu adalah PAS mesti menguggurkan cita-cita untuk melaksanakan hudud dan mesti kembali kepada polisi asal PR iaitu hanya boleh melaksanakan apa-apa polisi yang diputuskan bersama.

“Cara ini ialah dengan menjalankan suatu pelan tindakan lapan tahun bagi Pakatan Rakyat, dengan komitmen semula oleh ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS untuk memperkukuh dua prinsip asas yang menjadi rahsia kejayaan Pakatan Rakyat sejak ia ditubuhkan – kepatuhan terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah menjadi batu asas prinsip-prinsip bersama ketiga-tiga parti gabungan, dan prinsip konsensus dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, sebagai badan pembuat dasar tertinggi.

“Seandainya kita bersedia kepada kedua-dua prinsip asas ini, saya yakin bahawa Pakatan Rakyat akan semakin kuat demi merealisasikan impian rakyat Malaysia ke arah perubahan dan keagungan, dan membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya bagi membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang baru pada PRU ke-14 nanti.

“Cadangan pelan tindakan lapan tahun komitmen oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk terus menjunjung dua prinsip asas iaitu Dasar Bersama dan mekanisme konsensus ialah supaya Pakatan Rakyat kembali ke asasnya, dan mengenepikan apa sahaja perbezaan sepanjang lapan tahun akan datang, sepertimana yang telah dilakukan sepanjang enam tahun pertama dahulu.

“Bilangan lapan tahun ini adalah berasaskan tempoh tiga tahun menuju PRU ke-14 mulai sekarang, dan lima tahun pasca PRU ke-14; memandangkan Pakatan Rakyat mesti menyatakan komitmen kepada rakyat Malaysia berkaitan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat mendapatkan kuasa di Putrajaya selepas PRU ke-14.

“Amat malang sekali saya tidak berkesempatan berbincang dengan Nik Aziz tentang cadangan pelan tindakan lapan tahun ini demi menyelamatkan Pakatan Rakyat .

“Saya bagaimanapun yakin bahawa Nik Aziz, sebagai arkitek Pakatan Rakyat, yang sokongan kuatnya menjadi antara faktor kejayaan besar Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2008 dan 2013, akan memberi sokongan penuh kepada pelan tindakan ini, walaupun beliau mungkin mempunyai sedikit keberatan tentang syarat supaya parti-parti komponen mengenepikan perbezaan dasar dan isu yang tidak disepakati dalam Dasar Bersama sehingga selepas 2023.

“Soalnya sekarang ialah sama ada parti-parti komponen Pakatan Rakyat boleh bersetuju untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat dengan pelan tindakan lapan tahun ini.”